Skip to main content
Memurnikan Fikrah Perjuangan

Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami oleh pemimpin dan anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit kronik yang mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya. Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang salah dan tersasar dari matlamat yang murni. Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah perlunya kita merungkai krisis kefahaman ini agar kekeliruan dan kecelaruan dapat diatasi dan kembali meletakkan mereka di atas landasan perjuangan yang benar bersama misi dan visi yang tepat. Seterusnya mendapat redha daripada Allah s.w.t.

Saidina Umar al-Khattab pernah menegaskan (mafhumnya), “Fahamilah olehmu (akan perkara agama dan urusan kepimpinan atau perjuangan) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin.”

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda (maksudnya), “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan nescaya diberi faham tentang agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pertama : Memahami Ghayah

Ghayah adalah tujuan yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu, ghayah atau matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t. Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah s.w.t kerana kelak menjadikan kita menyeleweng daripada petunjuk Ilahi :


“Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan-jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah s.w.t.” (Al-An'am, ayat: 153)

Apabila kita benar-benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t, maka kita akan memiliki jiwa yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan dan hati yang tenang sekalipun berhadapan dengan cabaran yang getir, lantaran tawakkal yang kukuh berpaut kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t sebagai matlamat akhir perjuangan ini meletakkan kita ikhlas dan tajarrud dalam perjuangan demi mencapai nilai dan standard tawajjuh (hanya mengharap redha Allah) kepada Allah s.w.t. Saat itu, tidak akan berlaku lagi pergelutan dingin merebut jawatan kerana “hubbur riyaasah” atau gila pangkat/ jawatan
atau merasa resah dan penat sehingga mahu menarik diri daripada medan perjuangan yang serba mencabar ini. Sebaliknya bangga dan puas dengan apa yang dilakukan untuk Islam ini, sekalipun hanya sebagai penampal poster dan pengedar handbill justeru matlamat akhirnya ialah Allah s.w.t, yang pasti memberikan ganjaran bernilai terhadap usaha untuk menegakkan agamanya. Saya harap semua pemimpin dan anggota jamaah kembali menghayati slogan perjuangan kita yang saya lihat sedikit sebanyak makin diabaikan :

Allah sebagai Matlamat
Ar Rasul sebagai Ikutan
Al Quran sebagai Perlembagaan
Al Jihad sebagai Jalan Perjuangan
Mati Syahid di atas Jalan Allah sebagai cita–cita
tertinggi.

Kedua: Memahami Hadaf

Hadaf ialah objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan ini. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari destinasi. Sebagai contoh, antara hadaf yang ingin kita capai ialah tertegaknya Daulah
Islamiyyah di atas tanah air kita. Mereka yang memahami hadaf atau objektif perjuangan ini akan memastikan dirinya berjuang gigih tanpa lengah dan membazirkan waktu dengan perkara yang tidak mendatang faedah buat diri dan perjuangannya. Apa yang lebih penting untuk tahqiqul hadaf (memastikan matlamat semasa dicapai), kita terlebih dahulu diwajibkan menghayati objektif yang ingin dicapai. Sebagai contoh tadi, Daulah Islamiyyah menjadi salah satu hadaf kita yang ingin dicapai, maka kita dituntut supaya
memahami dan menghayati terlebih dahulu nilai dan ruh Daulah Islamiyyah di dalam jiwa dan kehidupan kita.

Al Imam Hasan Hudhaibi pernah menyebut (mafhumdnya), “Tegakkan Negara Islam dalam
diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu.” Malang, andainya kita meletakkan Daulah
Islamiyyah sebagai objektif perjuangan ini sedang kita bukan sahaja tidak memahami prinsip dan ciri–ciri daulah Islamiyah bahkan tidak menunjukkan sahsiah sebagai seorang pejuang yang berjuang untuk menegakkan syariat Islamiyyah. Manakan tidak, semangat berkobar-kobar untuk menegakkan Negara Islam tetapi ibadat kita tidak sempurna, tawakkal kita lemah dan fikrah kita hambar. Maka sudah tentu sahaja
semangat tidak memadai untuk mencapai objektif yang telah kita gariskan. Begitulah apabila kita turut meletakkan Dakwah Islamiyyah antara objektif kita. Kita mestilah
terlebih dahulu menghayati kriteria da’ie atau pendakwah yang berkesan. Bahkan kita sewajibnya menguasai metodologi dakwah yang efektif berasaskan maudhu’ dakwah yang tepat dan bersesuaian dengan tahap mad’u. Bertindak melulu dalam usaha dakwah tanpa memahami dan menghayatinya inilah yang
melahirkan pelbagai polemik dan kontroversi. Ada yang menggunakan perkataan kesat dan
kasar dalam ucapan atau ceramah tanpa mengira tempat dan kesesuaian, akhirnya menjauhkan
mad’u melarikan diri perjuangan kita. Demikian juga sebuah penampilan yang tidak
sesuai dengan masyarakat atau audien sehingga menimbulkan rasa jengkel di hati mad’u.

 Firman Allah s.w.t :
ﻓَﺒِﻤَﺎ ﺭَﺣْﻤَﺔٍ ﻣِّﻦَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻟِﻨﺖَ ﻟَﻬُﻢْ ﻭَﻟَﻮْ ﻛُﻨﺖَ ﻓَﻈًّﺎ ﻏَﻠِﻴﻆَ ﺍﻟْﻘَﻠْﺐِ ﻻَﻧﻔَﻀُّﻮﺍْ ﻣِﻦْ
ﺣَﻮْﻟِﻚَ

“Maka dengan rahmat Allah, engkau (Muhammad s.a.w) berlaku lemah lembut terhadap mereka.
Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari
sekitarmu.” (Ali-Imran, Ayat: 159)

Sebagai pemimpin biarpun di mana jua peringkat kepimpinan kita dan sebagai anggota sekalipun
kita hanya ahli biasa, berilah perhatian terhadap persoalan ini. Fahami objektif atau hadaf ini sedalam-dalamnya. Para pendakwah bukan berdakwah dan berceramah untuk mencari publisiti, apalagi laba
duniawi. Mereka berdakwah untuk membawa mesej perjuangan mereka kepada masyarakat agar mereka menerima Islam. Bertolak dari keinsafan ini, semua dua’t (pendakwah) hendaklah menghayati prinsip tersebut. Mereka hendaklah menyampaikan Islam dengan penuh penghayatan terhadap kandungan Islam itu
sendiri dan jiwailah ia dalam penyampaian kita agar dakwah Islam yang kita sampaikan dapat menembusi jiwa mad’u.

Firman Allah :

ﺍﺩْﻉُ ﺇِﻟَﻰ ﺳَﺒِﻴﻞِ ﺭَﺑِّﻚَ ﺑِﺎﻟْﺤِﻜْﻤَﺔِ ﻭَﺍﻟْﻤَﻮْﻋِﻈَﺔِ ﺍﻟْﺤَﺴَﻨَﺔِ ﻭَﺟَﺎﺩِﻟْﻬُﻢ ﺑِﺎﻟَّﺘِﻲ ﻫِﻲَ
ﺃَﺣْﺴَﻦُ

“Berdakwahlah mengajak manusia kembali kepada tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang terbaik.” (An-Nahl, Ayat: 125)

Ketiga : Memahami Manhaj

Landasan dan hala tuju perjuangan Islam sewajarnya difahami secara jelas sebagaimana jelasnya Islam itu sendiri sebagai cara hidup yang diwahyukan Ilahi. Al-Quran dan Sunnah mendasari manhaj perjuangan kita. Kita bergerak dan membentuk polisi perjuangan berasaskan wahyu dan sunnah bukan nafsu dan aqal yang
terpisah dari wahyu Allah. Firman Allah :

ﺛُﻢَّ ﺟَﻌَﻠْﻨَﺎﻙَ ﻋَﻠَﻰ ﺷَﺮِﻳﻌَﺔٍ ﻣِّﻦَ ﺍﻷَﻣْﺮِ ﻓَﺎﺗَّﺒِﻌْﻬَﺎ ﻭَﻻ ﺗَﺘَّﺒِﻊْ ﺃَﻫْﻮَﺍﺀ ﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﻻ
ﻳَﻌْﻠَﻤُﻮﻥَ

“Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat (peraturan agama), maka ikutlah
peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.” (Al-Jaatsiyah, Ayat: 18)

Secara organisasinya, jamaah kita berperlembagaan dan dipimpin melalui konsep syura. Kita telah menggariskan polisi dan manhaj perjuangan ini serta menurunkannya kepada setiap peringkat jamaah. Ianya mesti difahami dan dihayati. Pengamatan saya mendapati masihramai yang kabur mengenainya biarpun mereka telah lama menyertai jamaah. Fenomena ini berlaku kerana mereka menyertai jamaah tanpa memahami dan mendalami manhaj perjuangan. Sebagai contoh, Jemaah kita mengambil pendekatan “muwajahah bis- silmi” (berdepan dengan lawan melalui pendekatan aman) sebagai polisi perjuangan kita
di Malaysia. Pendekatan ini merumuskan satu jawapan yang akhirnya membawa penyertaan kita dalam persada politik tanahair sekaligus menyertai pilihanraya. Pihak yang tidak memahami manhaj kita sering
menuduh bahawa kita salah dan bercanggah dengan syarak kerana menyertai pilihanraya dan demokrasi. Malangnya ada dikalangan ahli jamaah terpedaya dengan tuduhan tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak memahami manhaj perjuangan sendiri. Ada pemimpin yang turut keliru terhadap manhaj perjuangan mereka sendiri. Ini suatu yang sangat malang, namun ianya satu realiti. Realiti ini berlaku kerana sebahagian mereka
tidak menyertai usrah atau liqa’ fikri anjuran jamaah sebagai medan untuk memahami dasar dan manhaj perjuangan. Saya sifatkan mereka yang menyertai jamaah tetapi tidak menyertai usrah sama seperti mereka masuk sekolah tetapi tidak masuk kelasnya. Biarpun sekolah itu adalah sekolah yang ternama dan tersohor
dengan kegemilangannya, tetapi keengganan memasuki kelas hanyak mengekalkan kejahilan mereka. Tiada apa yang dapat mereka pelajari tanpa memasuki kelas. Ketidak fahaman terhadap manhaj perjuangan inilah menyaksikan pelbagai aliran yang bercanggah cuba disogok kepada ahli jamaah. Ada yang cenderung membawa aliran syiah semata–mata kerana tersilau dengan kehebatan Iran, sedang Iran bukan hebat kerana mereka syiah dan kita lemah bukan kerana kita ahli sunnah wal jamaah. Mereka menjadi kuat kerana kesediaan pemimpin dan rakyat mereka menolak ideologi barat dan menggerakkan kebangkitan rakyat mereka di atas nama jihad untuk menentang kuasa besar dunia. Sementara masyarakat kita yang mendakwa diri mereka sebagai ahli sunnah wal jamaah tetapi menganut faham dan ideologi barat serta mengikis semangat jihad daripada diri mereka.Ini menjadikan diri mereka lemah dibawah pengaruh barat. Lantaran itu, membawa masukfahaman atau aliran syiah ke dalam jamaah iniuntuk menjadikannya kuat adalah suatu langkah yang salah dan tidak membawa sebarang faedah. Sebaliknya apa yang penting ialah menyalakan
semangat jihad di kalangan ummah dan mendidik mereka agar menolak fahaman dan ideologi asing dari terus menguasai minda dan jiwa ummah. Begitu juga ada pihak yang cuba menyeludup aliran liberal memasuki jemaah untuk mengelirukan ahli dan terdapat juga yang anti ulama dengan tanggapan serong bahawa ulama tidak pandai dan mampu memimpin serta jahil berorganisasi. Apa yang mesti kita fahami dan hayati, ulama adalah benteng ummah dalam mempertahankan mereka dari pengaruh kejahilan.
Kebencian dan merendahkan imej ulama di mata masyarakat adalah terhasil daripada kekeliruan terhadap manhaj perjuangan sendiri. Demikian juga ada yang memandang serong terhadap penyertaan golongan profesional yang memiliki fikrah Islam yang baik lalu menganggap mereka adalah golongan sekular, sedang mereka memberikan komitmen yang tinggi terhadap perjuangan. Ini juga adalah manifestasi dari kegagalan memahami manhaj perjuangan.

Keempat: Memahami Bi’ah (Realiti)

Kebenaran Islam mestilah disampaikan melalui kaedah dan cara yang benar, penampilan dan method (cara) yang tepat dan sesuai. Perkara ini memerlukan kita memahami bi’ah atau realiti yang dihadapi dengan ijtihad yang tepat supaya Islam dapat disampaikan dengan baik ke setiap hati sanubari masyarakat, sementara dalam masa yang sama kita mestilah memelihara prinsip Islam. Kita mestilah terbuka tetapi jangan hanyut dalam arus massa sebagaimana kita mestilah berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak.
Tidak memahami bi’ah menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula. Kajian terhadap tahap keupayaan minda masyarakat dan tuntutan ummah terhadap kehadiran perjuangan kita serta keperluan jemaah dalam mendepani cabaran masa kini menjadi syarat dan bukti kita memahami bi’ah. Kita tidak boleh syok sendiri dan mementingkan diri serta mencari kepuasan sendiri tanpa memikirkan apakah pendekatan kita sesuai dengan zaman dan method kita diterima masyarakat umum?

Kelima: Memahami Isti’dad (Persediaan)

Allah berfirman :

ﻭَﺃَﻋِﺪُّﻭﺍْ ﻟَﻬُﻢ ﻣَّﺎ ﺍﺳْﺘَﻄَﻌْﺘُﻢ ﻣِّﻦ ﻗُﻮَّﺓٍ ﻭَﻣِﻦ ﺭِّﺑَﺎﻁِ ﺍﻟْﺨَﻴْﻞِ ﺗُﺮْﻫِﺒُﻮﻥَ ﺑِﻪِ ﻋَﺪُﻭَّ ﺍﻟﻠَّﻪِ
ﻭَﻋَﺪُﻭَّﻛُﻢْ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh Allah dan musuh kamu.” (Al Anfaal, Ayat: 60) Kita tidak boleh berjuang secara sembarangan tanpa ilmu dan persiapan. Sungguhpun perjuangan ini membawa Islam sebagai dasar perjuangannya, kita tidak diajar menyerah kepada taqdir tanpa usaha gigih untuk membawa Islam kembali ke orbitnya yang mengatasi segala ideologi yang dicipta oleh manusia. Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah pula mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani
kelemahan yang ada pada kita. Saidina Umar alKhattab menyatakan (mafhumnya), “Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah (musuh).” Persiapan kita mesti mantap terhadap 2 faktor kemenangan; Faktor pertama ialah faktor penentu iaitu Allah Qadhi Rabbul jalil. Hubungan kita dengan Allah mestilah akrab guna meraih taufiq dan nusrah buat perjuangan yang kita dokong ini justeru Dialah Tuhan yang akan menentukan kemenangan dan kejayaan kita. Jangan putuskan hubungan antara kita dengan
Allah s.w.t. malah jangan biarkan hubungan kita dengan Allah berlangsung dalam keadaan hambar.

ﻳَﺎ ﺃَﻳُّﻬَﺎ ﺍﻟْﻤُﺰَّﻣِّﻞُ. ﻗُﻢِ ﺍﻟﻠَّﻴْﻞَ ﺇِﻻَّ ﻗَﻠِﻴﻼ . ﻧِﺼْﻔَﻪُ ﺃَﻭِ ﺍﻧﻘُﺺْ ﻣِﻨْﻪُ ﻗَﻠِﻴﻼ. ﺃَﻭْ ﺯِﺩْ
ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺭَﺗِّﻞِ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ ﺗَﺮْﺗِﻴﻼ. ﺇِﻧَّﺎ ﺳَﻨُﻠْﻘِﻲ ﻋَﻠَﻴْﻚَ ﻗَﻮْﻻ ﺛَﻘِﻴﻼ

“Wahai orang yang sedang berselimut! bangunlah pada malam hari kecuali sedikit iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil, Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu.” (Al Muzammil, Ayat: 1 – 5)

Manakala yang kedua ialah faktor membantu. Kita tidak boleh memandang sebelah mata terhadap faktor-faktor ini sekalipun ia hanyalah faktor yang membantu. Faktor ini tergolong dalam ikhtiar yang diwajibkan oleh syara’ kepada kita. Faktor ini boleh jadi dalam bentuk dana ekonomi yang kukuh, organisasi dan jentera penggerak yang mantap, anggota yang ramai, pengaruh yang lebar, dan sebagainya.

YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
MP PAS Temerloh
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

Cinta dan airmata. Titik.

Malam ini jari terasa ringan lagi. Menaip dari device kecil ini, dalam kegelapan malam. Hampir 2:20 pagi, tapi kantuk masih belum kunjung tiba. Jantung terasa lain macam, seolah ada suara menjerit, kenapa denganmu beberapa purnama ini ? Bagai orang hilang arah, hilang panduan. Entah, saban hari khususnya waktu cuti, mata hanya tahu tidur, menghadap laptop, candy-crush dan twitter. Hanya sesekali mata menjengah matan waraqat dan mutaba'ah amal. Kosong. Dan kembali dalam kelaghaan. Tinggal beberapa juzuk yg takmampu dihabiskan dalam bulan ramadhan. Khabarnya, esok hari terakhir syawal. Masih tinggal sehari, atau mungkin dua. Tadi, membelek gallery device kecil ini. Mengulang dengar kembali dua video. Sangat menyentuh hati. Satu dari TokGuru pondok dan satu lagi dari Ustaz Ahmad Dusuki. Dua video pendek yang berkisar tentang perkara yang sama. Rasulullah صلى اللّه عليه وسلم ..! Video TokGuru pondok, menceritakan tentang kelebihan selawat. Dalam kitab Mukasyafatul Qulub oleh I
bila Allah yg utama, maka tiada yg mendukacita . bersabar itu mesti ^_^

diriku kaku

bismillah. maaf dipinta, menghilang kusut dijiwa. aku masih di sini, mencari jiwa dan jati diri. musnah angan dan cinta, bila dunia memenuhi ruang jiwa, memadam hasrat menjadi seorang hamba. alangkah angkuh diriku, meninggalkan tuhan sedang jiwa merintih perit,   "...sudah.!! aku sedang memerhati diri, oh.. alangkah ruginya diri, bila tuhan tak dicari. selamanya noktah bukan di sini.